Kisah Pagi Ahad: Cahaya Biru di Rumah Ibuku
18 November 2018 — Sebuah kisah lama...
Selepas solat Subuh, aku memeriksa telefon bimbitku.
“Ah... habis bateri rupanya.”
Tanpa membuang masa, aku segera mengecas semula Samsung S8-ku. Sebaik sahaja telefon itu hidup semula, masuk notifikasi panggilan tidak dijawab.
Ternyata nombor ibuku.
Waktu panggilan tersebut menunjukkan sekitar jam 11.00 malam.
Aku mula tertanya-tanya. Jarang sekali ibu menelefon selepas jam 10.30 malam kecuali jika ada sesuatu yang penting atau kecemasan. Tetapi kalau benar-benar berlaku kecemasan, biasanya ahli keluargaku yang lain juga akan cuba menghubungiku.
Disebabkan waktu masih terlalu awal, aku mengambil keputusan untuk menelefonnya semula kemudian.
Jam baru menunjukkan sekitar 6.20 pagi.
Aku mengambil keputusan untuk bermeditasi sebentar. Aku menghidupkan oil diffuser dan menitiskan essential oil lavender. Tidak lama kemudian, seluruh bilik dipenuhi haruman yang menenangkan.
Aku menarik nafas perlahan-lahan dan mula berzikir.
Semakin lama, aku merasakan diriku memasuki keadaan yang sangat dalam. Tubuhku seolah-olah sudah tidak terasa lagi—seakan-akan hancur menjadi debu dan yang tinggal hanyalah kesedaran.
Dalam keadaan seperti terapung dan melayang itu, tiba-tiba aku terdengar satu suara memanggil namaku.
Suara itu seperti suara guruku.
“Ikut cahaya itu...”
Aku melihat satu cahaya berwarna biru.
Aku mengikutinya.
Rasanya seperti melalui sebuah terowong yang sempit, suram dan gelap. Di penghujungnya, kelihatan sosok tubuh guruku sedang menanti betul-betul di hadapan sebuah rumah.
Rumah itu seperti kukenali.
Suasana dan auranya terasa begitu biasa bagiku.
Kemudian aku tersedar.
Itu rumah ibuku.
Jauh di utara tanah air.
Hatiku mula berdebar.
Apa yang sedang berlaku? Apakah sebenarnya gambaran yang sedang kuterima ini?
Semakin dekat aku menghampiri kawasan rumah, aku melihat beberapa avatar ciptaanku yang berbentuk harimau hanya berdiri kaku.
Mereka seperti terikat oleh aura hitam yang pekat.
“Apa sudah jadi dengan kamu semua? Bukankah kamu penjaga rumah ini?”
Fikiranku terus mengatakan bahawa mungkin ada sesuatu yang telah menceroboh.
Aku memandang ke arah guruku. Dia menyuruhku membebaskan avatar-avatar tersebut.
Aku mula menyalurkan aura penguat kepada mereka. Satu aura berwarna keemasan meluncur ke arah kesemua avatar itu.
Mereka mula bergerak.
Kemudian kedengaran ngauman.
Dua ketuanya, yang kugelar Tok Begak dan Tun Panglima Tok Lela, datang menghampiriku lalu menggeselkan badan mereka kepadaku.
Aku bertanya apa yang telah berlaku.
Mereka membawaku masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke bilik ibuku.
Aku terkejut.
Kulihat ibuku dalam kesakitan. Pada lutut dan kakinya kelihatan seperti dipenuhi jarum-jarum berbisa yang mempunyai aura hitam.
Ibuku cuba melawan, tetapi auranya kelihatan agak lemah.
Tiba-tiba kulihat ibu mencapai sebotol haruman yang pernah kubekalkan kepadanya—HG19.
Dia menyemburkan haruman itu pada lutut dan kakinya.
Dalam pengalaman yang sedang kulalui itu, aku melihat semua jarum tersebut mula lebur.
Kemudian satu cahaya biru menyelubungi tubuh ibuku.
Sangat terang.
Ibuku juga kelihatan seperti sudah tidak lagi menanggung kesakitan.
Cahaya biru itu kemudian bergerak keluar daripada tubuh ibu dan menuju ke luar rumah.
Aku mengikutinya.
Ia membawa aku ke bahagian hadapan rumah, berhampiran pokok-pokok bunga.
Di situ, aku melihat sesuatu yang menyerupai sebuah patung sihir.
Aura hitamnya masih kuat, tetapi seolah-olah telah dikunci oleh energi cahaya biru.
Guruku juga berada di situ.
Kulihat dia sedang berdoa.
Tiba-tiba kilat menyambar patung tersebut.
BOOM!
Satu letupan kuat berlaku.
Patung itu menjadi abu.
Keadaan kembali senyap.
Guruku kemudian menyuruhku pulang.
Sebelum beredar, aku sempat mengalirkan aura untuk membentengi rumah. Aku turut mengalirkan energi Jurus Bayu Badra, yang dalam penglihatanku kelihatan seperti api biru menyelimuti seluruh rumah.
Kemudian semuanya berakhir.
Apabila aku membuka mata, jam menunjukkan 9.13 pagi.
Perkara pertama yang kulakukan ialah menelefon ibu.
Aku bertanya khabarnya dan apa yang berlaku malam sebelumnya.
Daripada perbualan kami, ibu memberitahu bahawa dia memang mengalami kesakitan yang aneh pada kaki dan lututnya.
Dan ketika aku menghubunginya pagi itu, katanya kesakitan tersebut telah reda.
Alhamdulillah. Dengan izin Allah.
— Catatan pengalaman peribadi, 18 November 2018
